Sembelihan korban bukan sekadar ibadah
Allah S.W.T berfirman dalam Surah Al-Kauthar:1-2 bermaksud: ''Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)."
Hari Raya Aidiladha atau dikenali Hari Raya Haji memang amat ditunggu oleh fakir miskin. Bagi mereka sekiranya mahu makan daging segar inilah masanya, kerana ramai orang Islam berkemampuan akan melakukan ibadah korban setahun sekali ini.
Ketika inilah betapa enaknya daging itu dirasai fakir miskin. Amalan ibadah menyembelih binatang korban ini sama ada lembu, kerbau, kambing atau unta amat dituntut oleh Islam sejajar dengan roh pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. yang akhirnya menyembelih seekor kibas.
Manfaat sembelihan korban ini bukan hanya kepada fakir miskin sahaja bahkan kepada penternak, penjual atau peraih juga.
Justeru dinasihatkan golongan ini turut melakukan pengorbanan tanpa memikirkan keuntungan sahaja.